Pages

Thursday, March 1, 2012

DARI MEJA PRESIDEN

KEBANGKITAN SATRIA PROTON

Allhamdulillahirrabil`alamin wassalatuwassallamual ashrafil anbia iwalmursalin Wa`ala alihi waasahbihi ajma`in

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Pagi!

Alhamdulillah kerana masih berkesempatan untuk saya berbicara sekali lagi di ruangan ini. Tuan-tuan, puan-puan yang dirahmati oleh Allah, didoakan mudah-mudahan semuanya didalam keadaan yang sejahtera.

Pertamanya, di kesempatan ini saya ingin memaklumkan mengenai terdapat sedikit perubahan dalam organisasi Kesatuan. Baru– baru ini seperti semua sedia maklum bahawa Setiausaha Kesatuan yang kita semua sayangi telah memohon untuk mengundurkan diri. Bagi saya, ini adalah satu kehilangan yang besar bagi Pihak Kesatuan. Dengan berat hati, setelah berbincang dan bermesyuarat, MJK telah membuat keputusan bersetuju untuk menerima perletakan jawatan beliau. Kepada mantan setiausaha diucapkan selamat maju jaya dan bagi pihak Kesatuan dan seluruh ahli, kami merakamkan jutaan penghargaan diatas sumbangan besar selama berada didalam Kesatuan. Dengan ini, MJK telah melantik setiausaha yang baru berdasarkan kepada peraturan-peraturan KPPPTM. MJK telah bersetuju untuk melantik salah seorang Ahli Jawatankuasa iaitu En. Mohd Zaki Bin Hairan sebagai setiausaha yang baru. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan agar semua pihak dapat memberikan kerjasama dan sokongan kepada Setiausaha Kesatuan yang baru demi melicinkan lagi pengurusan dan pentadbiran Kesatuan. Semoga Allah memberkatinya.

Keduanya, Kesatuan dengan kerjasama Kelab Proton Tanjung Malim dan Majlis Belia Malaysia akan menganjurkan pertandingan “Cabaran Memancing Proton 2012”. Pertandingan itu akan diadakan pada 25hb Mac 2012(Ahad) bermula jam 8.00pagi. Kepada semua “kaki pancing” ayuh! sahut cabaran ini. Diharap dengan penganjuran ini dapatlah kita mengeratkan lagi hubungan sesama kita. InshaAllah.

Seperti telah sedia maklum bahawa pada waktu ini PROTON sedang dalam proses pengambilalihan oleh DRB-HICOM. Anggaplah ini sebagai satu perkembangan yang menarik dan baik. Sebagai Satria Proton yang memiliki semangat ingin berubah, marilah kita sama-sama menyokong usaha ini. Jangan pula ada diantara kita yang bersikap negatif dengan mengeluarkan sebarang spekulasi yang tidak baik.

P3-21A - Pasti ramai yang teruja dan ternanti-nanti penuh debaran dengan kelahiran model baru yang digelar “Global Car” yang akan kita keluarkan tidak lama lagi. Percayalah saudara-saudaraku sekelian, melalui model ini, saya yakin ini adalah peluang terbaik kita sebagai Satria Proton untuk membuktikan KITA BOLEH dan dunia akan menyaksikan kebangkitan PROTON. Oleh itu marilah kita sama-sama bersatu hati, bersatu tenaga, bekerja kerana Allah untuk merealisasikan impian ini. Mudah-mudahan Allah mencatat segala usaha kita ini sebagai pahala yang akan kita persembahkan kepadaNYA kelak.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada semua kerana terus menyokong Kesatuan. Akhirnya, ayuh! seluruh Satria Proton, kita bangkit, kita buktikan, SATRIA PROTON BOLEH!.

“Ya Allah, berilah kemudahan dalam segala urusan kami, dekatkan harapan yang jauh dan wujudkan segala cita-cita kami jika itu demi kebaikan.”

Wassalam.
Zainudin Bin Dollah
PRESIDEN
Kesatuan Pekerja-Pekerja PROTON Tanjung Malim Sdn.Bhd.

No comments:

Post a Comment